Sunday, January 24, 2010

Apa itu adat Temenggung?

Menurut R.J. Wilkinson, beliau menghuraikan bahawa sistem Adat Temenggung berasal dari kerajaan Palembang atau Srivijaya yang wujud sekitar 900-1375 Masihi 8 . Adat Temenggung ialah adat yang berbeza daripada Adat Perpatih. Adat ini dibawa ke Tanah Melayu melalui Palembang, Sumatera. Adat Temenggung merupakan adat yang tidak bertulis kerana undang-undang ini tidak diperkenal atau diluluskan oleh mana-mana badan perundangan. Adat ini berbentuk autokratik kerana prinsip umumnya disusun oleh seorang ketua Melayu ( Datuk Ketemenggungan) di bawah pengaruh kerajaan Hindu di Palembang. Adat ini kemudiannya disokong oleh putera-putera raja Melayu sehingga menjadi suatu kuasa adat yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan 9 .
Di Semenanjung Tanah Melayu, negeri-negeri yang mengamalkan Adat Temenggung ialah Perlis, Kedah, Pahang, Perak, Johor, Kelantan dan Terengganu. Adat Temenggung adalah adat Melayu yang dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu. Namun, apabila raja-raja Melayu memeluk agama Islam, undang-undang Islam banyak mempengaruhi adat ini. Istilah-istilah lain yang boleh diberi kepada Adat Temenggung ialah Adat Kampung, Adat Mukim dan Adat Ketua.
Adat Temenggung banyak dipengaruhi oleh agama Islam terutama dari segi sistem perkahwinan dan pewarisan harta. Undang-undang Perak, Undang-undang Pahang, Undang-undang Johor semuanya memperlihatkan pemakaian Adat Temenggung yang sudah bercampur antara pengaruh Hindu dan juga ajaran Islam. Adat ini masih menjadi adat resam sehingga kini di Tanah Melayu.



_______________________
8 R.J. Wilkinson, Malay Law, AMS Press, New York, 1908, hlm 45
9 Ismail Ahmad, Masyarakat dan Budaya Melayu, hlm 117-118

No comments:

Post a Comment