Sunday, January 24, 2010

Faktor-faktor Orang Melayu Menentang Malayan Union

1.0 PENGENALAN
Malayan Union ialah satu bentuk perlembagaan baharu bagi seluruh Tanah Melayu yang telah dirancang oleh kerajaan British di London selepas Perang Dunia Kedua. Perlembagaan baharu itu bukan sahaja mengubah bentuk pemerintahan Tanah Melayu dan membuka taraf kerakyatan yang sama (Cannon Citizenship) kepada seluruh penduduk Tanah Melayu, tetapi yang paling bencana menghapuskan terus kedaulatan raja dan taraf Tanah Melayu sebagai negeri di bawah naungan kepada taraf Tanah Jajahan Takluk British. 1
Cadangan untuk Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent iaitu Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan Takluk British buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk pergi ke Tanah Melayu bagi mendapatkan tandatangan daripada raja-raja Melayu. Beliau hanya mengambil masa selama 22 hari untuk mendapatkan tandatangan ke semua pemerintah Tanah Melayu. Pada 21 Disember 1945, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baharu dengan Sir Harold MacMicheal.
Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam satu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946. Gazzette atau Warta Kerajaan British yang mengandungi butir-butir berkenaan dengan penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu telah disiarkan oleh pihak berkuasa Pentadbiran tentera British (BMA) di Tanah Melayu untuk pengetahuan seluruh penduduk Tanah Melayu. Sebaik sahaja tersiar Warta Kerajaan British itu, seluruh bangsa Melayu telah terkejut dan merasa Kertas Putih itu adalah satu cabaran yang tajam sehingga menyentuh maruah bangsa Melayu. Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.

_______________________________
1 Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1981, hlm 43
2.0 ISI KANDUNGAN KERTAS PUTIH
Negeri-negeri yang bersabit dengan kenyataan ini yang pertamanya mengandungi Koloni Negeri-negeri Selat iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka di dalam Semenanjung Tanah Melayu, Labuan di pantai Utara Borneo dan Pulau Christmas serta Pulau-pulau Cocos di sebelah Selatan Sumatera. Kedua, negeri-negeri Melayu yang bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di dalam Semenanjung Tanah Melayu. Ketiga, negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis juga termasuk dalam Semenanjung Tanah Melayu.
Jajahan negeri-negeri Selat sebelum diduduki Jepun adalah dengan tepat terletak di bawah pentadbiran British. Adapun di dalam negeri-negeri Melayu, kuasa British terletak di dalam perjanjian yang diadakan dengan raja-raja Melayu iaitu setiap orang raja mempunyai hak kerajaan di dalam negerinya sekalipun tiap-tiap seorang daripada mereka terpaksa menerima nasihat British dalam semua perkara kecuali dalam perkara-perkara agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Pekerjaan menyatukan pentadbiran adalah di bawah tugas Gabenor Negeri-negeri Selat sebagai Pesuruh Jaya Tinggi ( High Commisioner ) bagi negeri-negeri Melayu. Gabenor Negeri-negeri Selat memegang terus pentadbiran Tanah-tanah Jajahan ( koloni ). Sebaliknya, atas perkara-perkara yang berkenaan dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mereka menjalankan kerja menerusi British Resident di setiap buah negeri daripada empat buah negeri menerusi Federal Secretary di Ibu Pejabat Kerajaan Bersekutu ( Kuala Lumpur ). Pesuruh Jaya Tinggi British juga menjalankan tugasnya dengan meletakkan seorang penasihat dalam menyelesaikan urusan-urusan di setiap Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Undang-undang di dalam koloni telah digubal oleh Majlis Mesyuarat Undangan Negeri-negeri Selat. Undang-undang di dalam negeri-negeri Melayu oleh Federal Council (Majlis Mesyuarat Negeri-negeri Melayu Bersekutu). 2
______________________________
2 A. H. Edrus, Peristewa-peristewa Siasah di Tanah Melayu, Geylang Road, Singapore, 1962, hlm 10-11
3.0 PERINGKAT MEMPERKENALKAN MALAYAN UNION
Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent iaitu Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British yang dilaksanakan buat pertama kalinya di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi kemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana ketidaksediaan pihak kerajaan Borneo yang pada masa itu masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil. Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk pergi ke Tanah Melayu bagi mendapatkan tandatangan daripada raja-raja Melayu. Sir Harold Macmicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu kerana beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Namun, kerajaan British yang kerap menerima maklumat yang salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera-putera dari Tanah Melayu.
Pemerintahan Tentera British ( BMA ) merupakan masa yang paling sesuai bagi MacMichael untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu kerana keadaan ketenteraan amat sesuai dijadikan asas ugutan untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. Beliau hanya mengambil masa selama 22 hari untuk mendapatkan tandatangan daripada semua pemerintah Tanah Melayu hasil daripada ugutan yang amat bersesuaian dengan keadaan pada masa itu. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
Memperoleh tandatangan daripada Sultan-sultan tidak begitu susah seperti yang dijangka. MacMichael telah bertindak memaksa Sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan Sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal. Bagaimanapun, sebilangan daripada Sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian tersebut, tetapi disebabkan oleh ugutan yang mendakwa baginda-baginda Sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memaksa Sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union atas dasar menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan mereka juga bimbang akan kehilangan takhta. Tanpa disedari oleh Sultan-sultan ini ialah semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan Sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu Sultan-sultan Melayu untuk memerintah dianggap benar sedangkan pihak British hanya mempergunakan pemerintah Melayu demi kepentingan pihak mereka.
Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946 berserta Kertas Putih satu lagi usul telah dikeluarkan iaitu pembatalan undang-undang Negeri-negeri Selat ( NNS ) dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang wujud sebelum ini dan digantikan dengan Kesatuan Malaya yang baharu iaitu Malayan Union.










4.0 RASIONAL PENUBUHAN GAGASAN MALAYAN UNION
Seawal tahun 1942, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perancangan Tanah Melayu di United Kingdom. Tujuan unit ini ditubuhkan adalah untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit ( MPU ) yang diketuai oleh Mejar- General Ralph Hone. Hone diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baharu untuk Tanah Melayu selepas perang berakhir. Selepas perbincangan berlaku, cadangan untuk penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka menjadi Malayan Union telah diusulkan.
Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan. Pengasingan ini berlaku kerana British takut berlaku penentangan daripada orang Melayu terhadap penyertaan Singapura dan sekaligus akan menjejaskan penerimaan orang Melayu terhadap rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional yang timbul dalam kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu yang menyatakan sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut pelaksanaan dasar kewarganegaraan yang liberal akan menimbulkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Melayu kerana bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk tujuan pelaksanaan operasi di Timur Jauh. Namun, tujuan utama Brirish mengecualikan penyertaan Singapura ke dalam Malayan Union adalah kerana kepentingan ekonomi British di Singapura, kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan dan pelbagai faktor lain yang berteraskan kepada kegiatan ekonomi sehingga mendorong British untuk mengekalkan Singapura sebagai kononnya Tanah Jajahan London.
Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu sebab yang membawa kepada rancangan pembentukan Malayan Union adalah berhubungan dengan hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu ke arah kemerdekaan. Keadaan ini dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara di dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain ialah ‘ Merdeka ’. Maka, pihak Britain terikat untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Keadaan ini dapat dilihat sebagai satu usaha untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sedangkan kuasa Sultan-sultan dan pemerintah Tanah Melayu telah dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union.














5.0 BUTIRAN UTAMA MALAYAN UNION
Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura dan akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya, pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukkan kedaulatan British di Tanah Melayu apabila pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.
Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura serta pendatang yang tinggal di sana sekurang-kurangnya selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan ataupun turut dikenali sebagai ‘ jus soli ’.




6.0 FAKTOR-FAKTOR ORANG MELAYU MENENTANG MALAYAN UNION
6.1 Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu
Orang-orang Melayu menentang Malayan Union kerana marah dengan cara Harold Macmichael mendapatkan tandatangan daripada raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu telah digesa, diugut dan diabui mata. Semasa diminta menandatangani persetujuan tersebut, raja-raja Melayu tidak diberitahu isi cadangan yang terkandung dalam perlembagaan Malayan Union. Raja-raja juga tidak diberi tempoh masa yang cukup untuk meneliti kebaikan dan keburukan Malayan Union dan baginda juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri sebelum menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union. Ugutan Harold MacMichael telah menambahkan kemarahan orang Melayu. Harold MacMichael mengugut sekiranya raja-raja Melayu enggan menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union, baginda akan dianggap pro-Jepun dan disingkirkan daripada takhta masing-masing. Tindakan jahat yang digunakan oleh Harold MacMichael dalam mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dapat dibuktikan melalui surat-surat yang ditulis oleh Sultan-sultan di beberapa buah negeri. Antaranya,
Surat Sultan Kedah
“ Beta telah diberi katadua dengan mulut dengan masa yang dihadkan dan jikalau beta menolak daripada menurun tandatangan ke atas apa yang beta katakan alat menyerah diri, pengganti beta yang akan menurunkan tandatangannya, akan dilantik. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri telah terpaksa menurunkan tandatangan dengan mengaku mereka akan menasihatkan beta supaya menurunkan tandatangan. Beta telah diberitahu iaitu perkara itu adalah perkara shakhsiah dan sulit dan beta tidak perlu dibenar menceritakan apa yang telah berlaku itu ” .
Beta yang dimaksudkan dalam isi surat di atas ialah Sultan Badlishah yang diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union atau baginda tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan British sebagai Sultan yang rasmi di negeri Kedah.

Surat Sultan Selangor
“ MacMichael berkata, adalah sebaik-baiknya bagi tuan menyerahkan kuasa-kuasa kepada King, saya minta tuan berilah persetujuan tuan dan janganlah enggan. Beta menjawab beta percaya kepada King dengan sepenuhnya. Beta berkehendak baginda King dan kerajaan menguruskan hal-hal ehwal tanah kampung beta dengan adil. King itu adalah sebagai guru beta dan beta muridnya. Sangatlah layak beta diajar olehnya ”.
Surat Sultan Perak
“ Beta telah menurunkan tandatangan oleh kerana beta telah dipegang di dalam masa terburu-buru dan oleh kerana beta telah penuh mempunyai taat setia kepada Mahkota British dengan penuh keyakinan bahawa hak-hak beta dan hak-hak rakyat beta tidak akan tersentuh. Tiadalah boleh dikatakan beta telah bersetuju kepada butir-butir yang berputar belit yang berat di dalam Malayan Union yang dicadangkan itu ” . 3






__________________________
3 Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1981, hlm 62-64





6.2 Kekuasaan dan kewibawaan Sultan terhakis
Penubuhan Malayan Union akan menghakis kekuasaan dan kewibawaan Raja-raja Melayu. Faktor ini telah menyebabkan orang-orang Melayu bangun menentang pelaksanaan Malayan Union. Warta Kerajaan Malayan Union telah menyentuh tentang beberapa pemberian kuasa kepada Raja Melayu. Terdapat tiga Majlis yang berkaitan dengan Raja Melayu iaitu Majlis Negeri, Majlis Penasihat Sultan dan Majlis Raja. Namun, pada hakikatnya Raja Melayu tidak memiliki sebarang kuasa eksekutif dalam majlis tersebut untuk menjadi sebuah kumpulan yang kuat dan berpengaruh. Malahan bidang agama dan adat Melayu yang sentiasa dikaitkan dengan kekuasaan mereka turut terjejas. Sebagai contoh di dalam Majlis Agama, Raja Melayu berperanan sebagai ahli dan Gabenor British yang beragama Kristian pula menjadi pengerusi (Zainal Abidin 1970)1. Raja Melayu tidak mempunyai apa juga kuasa dalam urusan kutipan zakat yang merupakan sebahagian daripada bidang agama Islam. Segala undang-undang tidak lagi ditandatangani oleh Raja-raja dan geran-geran tanah akan ditandatangani atas nama Gabenor British 4 .
Peranan baru Raja Melayu dalam Malayan Union ialah sebagai ‘ pemimpin tradisional atau spiritual orang Melayu ’. Raja-raja Melayu hanya mempengerusikan Majlis Penasihat sahaja yang walaupun keahliannya dilantik oleh Raja Melayu tetapi masih tertakluk kepada persetujuan Gabenor. Perubahan ini sengaja dirancang supaya wujud dikotomi kuasa yang berpihak kepada kerajaan British.




______________________________
4 Mohd Ashraf Ibrahim, Gagasan Malayan Union yang Bersatu, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, 2004, hlm 93

6.3 Syarat kerakyatan yang longgar
Orang-orang Melayu begitu marah dan merasa tercabar dengan tindakan kerajaan British melonggarkan syarat kerakyatan sebagai salah satu dasar dalam perlembagaan Malayan Union. Dasar kerajaan British ialah menggalakkan taraf kerakyatan yang luas tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. Pada peringkat ini, pendapat umum di kalangan pembuat dasar dan pentadbir tanah jajahan British adalah jelas iaitu ke arah pembentukan kewarganegaraan umum yang merangkumi semua penduduk sama ada golongan imigran dan penduduk asal. Walaupun terdapat idea yang bertentangan dengan pendapat umum seperti yang disuarakan oleh Viscount Elibank yang merupakan salah seorang ahli di House Of Lords, namun ia ditenggelamkan oleh pendapat majoriti. Elibank berpendapat pembentukan Malayan Union adalah seolah-olah suatu penyerahan Tanah Melayu dan Singapura kepada imigran Cina (Malay Tribune 1946). Istilah yang beliau gunakan ialah:
… daripada bermatlamatkan pembentukan dominion Empayar British kepada dominion Empayar China (Siti Hajar 1991).
Secara umumnya, kerakyatan Malayan Union terbuka kepada kategori berikut:
1. Sesiapa yang dilahirkan di Tanah Melayu atau Singapura sebelum tarikh Malayan Union berkuatkuasa, dan menjadi pemastautin Tanah Melayu atau Singapura pada tarikh itu.
2. Sesiapa yang berusia lapan belas tahun atau lebih dan telah bermstautin di Tanah Melayu atau Singapura untuk tempoh sepuluh tahun daripada 15 tahun pada tarikh 15 Februari 1942 serta mengangkat sumpah kesetiaan kepada Kerajaan Malayan Union.
3. Sesiapa yang dilahirkan di Malayan Union atau Singapura selepas tarikh Malayan Union dikuatkuasakan.
4. Sesiapa yang dilahirkan di luar Malayan Union atau Singapura tetapi ayahnya ialah warganegara Malayan Union pada masa kelahirannya. 5
_____________________________
5 Ashraf Ibrahim, Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-57, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, hlm 95

Syarat kerakyatan yang ditetapkan oleh British adalah mengikut prinsip jus soli. Orang-orang Melayu mahu menegakkan status quo sebagai peribumi. Syarat kerakyatan yang longgar memudahkan imigran mendapat kerakyatan dan ini telah menyebabkan jumlah orang Melayu mengecil.
Negeri dan Penempatan Melayu Cina Jum;ah penduduk Melayu dan Cina Jumlah semua kaum atau bangsa
Pulau Pinang

119.913
230,679
350,592
419,047
Melaka dan N.Sebilan
217,912
217,931
435,843
532,096
Selangor dan Pahang
281,236
413,632
694,868
923,352
Johor

302,104
308,901
611,005
675,297
Kedah dan Perlis

387,735
116,672
504,407
583,308
Kelantan dan Terengganu
555,836
40,317
596,155
613,724
Perak
(anggaran)
335,385
450,197
785,582
996,691

Pembahagian Jumlah Penduduk Mengikut Bangsa dalam Tujuh Kawasan di Tanah Melayu

Jadual di atas menunjukkan jumlah penduduk yang berbeza bangsa dalam tujuh kawasan di Tanah Melayu. Berdasarkan jadual tersebut, secara keseluruhannya bangsa Cina melebihi bangsa Melayu di setiap kawasan kecuali di Kedah dan Perlis hanya seramai 116,672 orang berbanding bangsa Melayu yang berjumlah 387,735 orang, begitu juga di Kelantan dan Terengganu bangsa Cina hanya berjumlah 40,319 orang berbanding jumlah Melayu iaitu seramai 555,836. Namun, di lima kawasan lain jumlah orang Cina melebihi Melayu.


Orang Melayu tidak mahu orang India dan Cina terutamanya diberi kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila mereka melebihi orang Melayu. Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu hanya 49.46% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu. Jadi, tidak hairanlah orang-orang Melayu menolak perlembagaan Malayan Union kerana bimbang bangsa lain terutamanya bangsa Cina menguasai ekonomi dan politik di Tanah Melayu. 6















_______________________________
6 Albert Lau, The Malayan Union Controversy 1942-1948, Oxford University Press, Singapore, 1991, hlm 90


6.4 Hak istimewa orang-orang Melayu terhapus
Penubuhan Malayan Union akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang-orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana Perlembagaan Malayan Union memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama. Keadaan ini membimbangkan orang Melayu kerana mereka tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu.
Penghapusan hak istimewa yang menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.

6.5 Matlamat balas dendam pihak British terhadap orang Melayu
Orang Melayu menentang Malayan Union kerana mereka menyedari perlembagaan Malayan Union merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V.Allen dalam bukunya ‘ The Malayan Union ’ mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti-Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Penduduk-penduduk Tanah Melayu terutamanya mereka yang bencikan penjajah Inggeris berasa gembira kerana kedatangan Jepun bukan hanya menghapuskan penjajahan Barat tetapi pada sangkaan mereka akan membawa kesenangan kepada orang-orang miskin. Harga barang-barang murah dan mewah terutama kain baju dan barang-barang makanan terutama beras.
Pihak Jepun sedar tentang adanya penentangan daripada pihak dalam negeri, terutama daripada pihak Komunis dan mereka juga sedar akan hakikat bahawa sungguhpun seluruh Tanah Melayu telah dapat ditawan dengan mudahnya tetapi hati dan semangat anak negeri dan penduduk amnya belum lagi tertawan. Jepun menganggap orang-orang Melayu berguna dalam bidang politik tetapi tidak berguna dalam bidang ekonomi. Manakala orang-orang Cina berguna dalam bidang ekonomi tetapi dalam bidang politik orang-orang Cina sangat tidak dikehendaki kerana mereka musuh ketat Jepun. Oleh demikian, berbagai muslihat telah dijalankan untuk mendapatkan kerjasama yang penuh daripada segenap pihak untuk meyakinkan penduduk Tanah Melayu akan kejujuran tujuan perang mereka adalah bermatlamat membebaskan Asia untuk bangsa Asia dan membawa kemakmuran bersama Asia Timur Raya.
Pihak Jepun cuba menyemai semangat Jepun kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu. Mereka menggalakkan semangat anti-British dan lebih luas lagi anti-Barat. Bangsa-bangsa yang ditawan digalakkan membina semangat timur dan berbangga dengan keadaan mereka sebagai bangsa Asia. Di samping itu, didakwa juga bahawa dasar Jepun menekankan layanan yang sama rata. Sebenarnya penduduk Tanah Melayu khususnya bangsa Melayu telah tertipu dengan dasar Jepun itu yang sebenarnya mengamalkan dasar ‘ divide and rule ’ iaitu dasar pecah dan perintah. Pihak Jepun melantik ketua-ketua kaum untuk mengetuai kaum masing-masing dalam memberi kerjasama dan menjadi alat perhubungan. Jepun menganggap orang-orang Melayu tuan hak Tanah Melayu yang sebenarnya. Agama dan adat resam orang-orang Melayu dan lain-lain tidak diganggu tetapi semangat Jepun melalui lagu kebangsaannya ‘ Kemigayo ’ , bahasa, kebudayaannya menerusi nyanyian sangat digalakkan. Sebenarnya, Jepun menggunakan semangat kebangsaan Melayu untuk kepentingan mereka sahaja. Mereka membayangkan kemungkinan Tanah Melayu diberi kemerdekaan supaya menggalakkan orang-orang Melayu mempertahankan Tanah Melayu dengan menyokong perjuangan Jepun. Buktinya, hanya orang-orang Melayu dijemput menghadiri satu Persidangan Kemerdekaan di Kuala Lumpur.
Menurut V. Allen dalam bukunya ‘ The Malayan Union ’ seperti yang dinyatakan di atas iaitu beliau mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti-Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Pihak British beranggapan orang-orang Melayu menyokong Jepun kerana setia dengan pihak Jepun tetapi sebenarnya sokongan yang diberikan adalah dalam keadaan terpaksa kerana takut dengan pemerintah Jepun. Orang-orang Melayu juga bekerjasama dengan Jepun kerana tertipu dengan sogokan janji dan pelaksanaan dasar Jepun yang dikatakan memberi faedah kepada orang-orang Melayu. Sebaliknya, orang-orang Melayu tidak juga terlepas daripada perbuatan kejam Jepun yang terkenal dengan kekejaman. Jadi, tidak hairanlah orang-orang Melayu menentang Malayan Union kerana mereka beranggapan pihak British melaksanakan penubuhan Malayan Union adalah bertujuan untuk membalas dendam terhadap orang-orang Melayu kerana dikatakan bekerjasama dengan Jepun.

















6.6 Dilaksanakan dalam masa cemas
Masa cemas di sini bermaksud suasana tidak tenteram di Tanah Melayu yang memperlihatkan hubungan orang-orang Melayu dan Cina disebabkan sikap berat sebelah. Malayan Union dilaksanakan dalam masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun.
Pada zaman pemerintahan Jepun, Jepun menganggap Cina sebagai musuh mereka. Dengan kata lain, orang-orang Cina tidak berguna dalam soal politik tetapi orang-orang Melayu diberi hak dalam politik. 7 Oleh itu, Cina merasakan Jepun bersikap berat sebelah dengan melebih-lebihkan orang Melayu berbanding bangsa mereka.
Namun, keadaan ini berubah semasa pemerintahan British yang membelakangkan orang Melayu dalam segala aspek. Oleh itu, orang Melayu mendakwa perlembagaan Malayan Union itu dilaksanakan dalam suasana anti-Melayu dan pro-Cina. Dengan kata lain, Malayan Union merugikan orang Melayu dan menguntungkan orang Cina terutamanya dari segi ekonomi. Justeru, tidak hairanlah orang-orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana tidak puas hati perlembagaan ini dikemukakan dalam masa cemas.

6.7 Orang Melayu tidak terlibat
Orang-orang Melayu marah dan merasa tercabar kerana orang Melayu tidak dibenarkan terlibat dalam merangka perlembagaan Malayan Union. Perlembagaan itu dirancang oleh Pegawai British dalam Malayan Planning Unit (MPU) yang berpusat di London. Orang Melayu semakin terkilan dan marah kerana pendapat orang Melayu langsung tidak diminta oleh British semasa mereka merangka perlembagaan tersebut sedangkan perlembagaan yang dirangka itu terkandung masa depan tanah Melayu dan rakyat sekaliannya. Orang-orang Melayu tidak berdiam diri dan menentang Malayan Union demi menegakkan maruah bangsa Melayu.
_________________________________
7 Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1981, hlm 27

7.0 BENTUK PENENTANGAN
7.1 Individu
Penentangan secara individu dilakukan oleh Datuk Onn yang menyeru orang Melayu mengadakan kongres dan menubuhkan UMNO. Selain itu, raja-raja Melayu turut membantah Malayan Union terutamanya Sultan Johor. Bukan sahaja pemimpin berbangsa Melayu menentang Malayan Union tetapi bekas pegawai-pegawai British juga turut sama mengkritik perlembagan tersebut. Pegawai-pegawai British yang dimaksudkan ialah Frank Swettenham, R.O Winstedt, Sir Frederick Weld dan Sir Cecil Clementi Smit. Keempat-empat pegawai Brish ini menyuarakan kritikan melalui akhbar ‘ The Times ’ .

7.2 Tunjuk perasaan
Perasaan marah yang meluap-luap di dalam jiwa orang-orang Melayu menghadapi cabaran yang mengejut hanya dapat disaksikan melalui tunjuk-tunjuk perasaan oleh puluhan ribu orang Melayu daripada segala lapisan masyarakat. Tujuk perasaan tersebut bergema di merata tempat dalam negeri-negeri di Tanah Melayu. Keadaan ini bukan hanya memeranjatkan England tetapi hampir seluruh penduduk dunia. Contoh beberapa negeri yang terdapat tunjuk perasaan, antaranya,

Di Kedah
Pada 19 Januari 1946, lebih 50,000 orang Melayu Kedah telah mengadakan satu perarakan raksasa melebihi 2 batu di bawah anjuran Kesatuan Melayu Kedah (Alor Setar). Mereka membawa pemidang dan poster-poster yang mengandungi berbagai-bagai cogankata dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Terdapat satu cogankata yang dibawa oleh kanak-kanak berbunyi, “ Wahai Ibu Bapaku, Peliharalah Hak-hak Kami Sementara Kami Besar ” . Antara cogankata lain yang dibawa dalam perarakan tunjuk perasaan di Kedah itu berbunyi, “ British Pecah Amanah ” , “ Kita Tidak Boleh Percaya Lagi Kepada Kerajaan Inggeris ” .

Di Kelantan
Pada 1 Februari 1946, seramai 36,000 orang Melayu Kelantan telah berhimpun di Kota Bharu dan kemudian mereka berarak menunjuk perasaan membantah Malayan Union. Pemidang-pemidang dan poster-poster yang mengandungi berbagai-bagai cogankata mengecam dan mengutuk Malayan Union dan Kerajaan British. Antaranya, “ British Pecah Amanah ” , “ Kita Tidak Boleh Percaya Lagi Kepada Inggeris ” .

Di Johor
Pada 10 Februari 1946, Datuk Onn bin Jaafar yang pada masa itu menjadi Pegawai Daerah (D.O.) di Batu Pahat telah mengumpul hampir 20,000 orang Melayu di sebuah padang di Batu Pahat, Johor. Perhimpunan ini diadakan bagi membantah isi kandungan Kertas Putih Malayan Union. Datuk Onn telah berucap tentang keburukan dan bencana Malayan Union dan menyeru orang-orang Melayu supaya bangun bersatu dalam menentang British untuk membela kepentingan bangsa Melayu.

7.3 Peranan akhbar
Akhbar merupakan medium penting dalam memberitahu, memupuk dan mempengaruhi pemikiran pembaca. Akhbar mempunyai peranan penting dalam menyedarkan orang-orang Melayu tentang keburukan Malayan Union dan sekaligus menaikkan semangat orang-orang Melayu dalam menggulingkan pertubukan tersebut. Antara contoh akhbar ialah Utusan Melayu yang menyeru orang-orang Melayu supaya memikirkan kesan pelaksanaan Malayan Union. Akhbar Majlis pula menyeru orang Melayu supaya menubuhkan kerajaan yang merdeka. Selain dua akhbar berikut, terdapat satu lagi akhbar penting iaitu Warta Negara yang menggesa orang Melayu supaya menentang Malayan Union.

7.4 Menubuhkan UMNO
Umno ditubuhkan pada 4 Mei 1946 dengan dipengerusikan oleh Datuk Onn Jaafar. Penubuhan UMNO adalah atas motif-motif tertentu. Motif utama penubuhan UMNO pada tahun 1946 ialah menentang Malayan Union dan antara motif-motif lain ialah menyatukan orang Melayu, mewujudkan organisasi social yang sistematik dan menjaga kepentingan orang Melayu. Menjelang tahun 1949 UMNO bertujuan untuk menjadi parti siasah, melindungi kepentingan orang Melayu dan menuntut kemerdekaan.














8.0 KESIMPULAN
Gazette atau Warta Kerajaan British yang mengandungi butir-butir berkenaan penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu telah disiarkan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Tentera British (BMA) untuk pengetahuan rakyat dan penduduk-penduduk Tanah Melayu. Sebaik sahaja tersiar Warta Kerajaan British itu, seluruh bangsa Melayu telah terkejut dan merasa isi kandungan Kertas Putih itu adalah satu cabaran yang tajam sehingga menyentuh maruah bangsa Melayu. Justeru, tidak hairanlah bangsa Melayu bangun menentang Malayan Union
Pihak British tidak adil dan menggunakan kekerasan kepada bangsa Melayu demi melunaskan hasrat mereka. Buktinya, Sir Harold MacMichael telah menggunakan kekerasan dalam mendapatkan tandatangan daripada raja-raja Melayu, hak istimewa orang-orang Melayu diketepikan, masalah hak kerakyatan yang terlalu longgar, merampas kekuasaan dan kewibawaan Sultan, melaksanakan Malayan Union atas dasar balas dendam kepada orang Melayu kerana menyokong Jepun, pelaksanaan dalam masa cemas dan orang Melayu tidak terlibat dalam Malayan Union. Penentangan bangsa Melayu terhadap gagasan Malayan Union diutarakan dalam pelbagai kaedah atau cara, antaranya penentangan oleh individu, tunjuk perasaan beramai-ramai, akhbar, menubuhkan UMNO dan sebagainya.
Akibat tentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L. D. Grammant dan D. R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, British bersetuju membubarkan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan telah diperketatkan.




9.0 RUJUKAN
Albert Lau. 1991. The Malayan Union Controversy. Singapore: Oxford University Press.
Ashraf Ibrahim. 2004. Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-57. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Edrus, A. H. 1962. Peristewa-peristewa Siasah di Tanah Melayu. Singapura: Geylang Road.
Ibrahim Mahmood. 1981. Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara.
Allen, V. 1967. The Malayan Union. Yale University Southeast Asia Studies.
Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia, The MacMillan Press Ltd. (1982).
The World Book Encyclopedia, World Book International (1994). ISBN 0-7166-6694-4

No comments:

Post a Comment