Sunday, January 24, 2010

corak pemerintahan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara telah mempengaruhi perkembangan politik sejarah awal di rantau Asia Tenggara.

1.0 PENGENALAN

Sejak kurun pertama Masihi, telah muncul beberapa kerajaan awal di Asia Tenggara. Sebilangan besar kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara adalah bercorak keindiaan kesan daripada pengaruh India. Istilah ‘Penghinduan’ telah digunakan oleh sarjana-sarjana Barat untuk menyatakan kesan pengaruh kebudayaan Hindu ke atas corak pemerintahan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara. Malah Coedes tergamak menamakan negeri-negeri yang beroleh kemajuan hasil daripada pengaruh Hindu itu sebagai lesetats hindouises walaupun agama Buddha Theravada akhirnya menjadi agama yang dianut oleh sebahagian besar penduduk-penduduk Burma, Arakan, Thai dan Kemboja. 1

Kerajaan awal di Asia Tenggara boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu kerajaan agraria dan kerajaan maritim. Kedua-dua bentuk kerajaan ini telah muncul pada awal tahun Masihi (zaman proto-sejarah) dan menjadi asas penting kepada kerajaan-kerajaan yang wujud pada zaman klasik. Antara contoh kerajaan agraria ialah kerajaan Angkor dan Funan, manakala kerajaan maritim pula terdiri daripada kerajaan Kedah Tua, Srivijaya dan Majapahit. Kerajaan-kerajaan awal ini wujud adalah ekoran daripada faktor geografi, pertanian dan perdagangan. Namun, teras kejayaan kerajaan-kerajaan awal adalah bergantung kepada golongan pemerintah dan diperintah. Dua golongan ini muncul melalui corak pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan awal.

Bagi tempoh sebelum Masihi, kewujudan kerajaan puak-puak utama di Asia Tenggara dan dapat diketahui bagaimanakah kerajaan-kerajaan itu lahir. Dengan ini dapat dirumuskan sama ada orang-orang India telah menekankan bentuk organisasi atau corak pemerintahan atau masyarakat peribumi yang terpengaruh dengan kebudayaan India yang telah membentuk satu organisasi pemerintahan yang meniru corak India. Namun, corak pemerintahan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara telah mempengaruhi perkembangan politik sejarah awal di rantau Asia Tenggara.

__________________________

1 Hall D. G. E, Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1979, hlm 15

2.0 BENTUK KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA

Kerajaan awal di Asia Tenggara dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu kerajaan agraria dan kerajaan maritim. Kedua-dua bentuk kerajaan ini telah muncul pada awal tahun Masihi atau pada zaman proto-sejarah dan menjadi batu asas kepada kerajaan-kerajaan yang wujud pada zaman klasik.

2.1 Kerajaan Agraria

Kerajaan-kerajaan agraria biasanya terletak di kawasan pedalaman Tanah Besar Asia Tenggara serta di muara dan lembangan sungai utama di Asia Tenggara. Kerajaan agraria merupakan kerajaan yang bergantung kepada kegiatan pertanian. Di samping itu, kerajaan agraria juga bergantung kepada kerajaan maritim untuk memperoleh hasil laut dan barangan import.

Kegiatan utama penduduk kerajaan agraria adalah bercucuk tanam, berburu, memungut hasil hutan, menangkap ikan dan sebagainya. Padi merupakan tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di Asia Tenggara. Terdapat dua jenis padi yang ditanam oleh masyarakat agraria iaitu padi sawah yang ditanam di kawasan tanah pamah dan padi humai dataran tinggi . Kegiatan pertanian menyebabkan mereka mempunyai teknologi pengairan yang baik serta sistem kertas yang mengikut rejim kerjasama yang ketat.

Contoh kerajaan agraria pada zaman proto sejarah ialah Dvaravati di Lembah Sungai Chao Pharaya (Thailand), Kerajaandan Funan di Lembah Mekong, Kerajaan Langkasuka dan kerajaan-kerajaan kecil yang wujud di Jawa.

2.2 Kerajaan maritim

Kerajaan maritime terletak di muara lembah sungai, kawasan persisiran pantai dan di kawasan kepulauan. Antara kerajaan-kerajaan maritime utama ialah di Tanah Melayu seperti Langkasuka (Sungai Yarang), Kalah (Sungai Takuapa), Chih-Tu (Sungai Kelantan), Fo-lo-an (Sungai Terengganu), Peng-Keng (Sungai Pekan, Pahang) dan Tiumah (Pulau Tioman). Manakala kerajaan maritime di kepulauan Indonesia pula antaranya ialah Srivijaya (Sungai Musi) dan Mo-lo-yu (Sungai Batanghari).

Kerajaan maritime sekurang-kurangnya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat pelabuhan utama yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perdagangan, tempat persinggahan dan mempunyai tempat kegiatan agama Hindu-Buddha. Pelabuhan-pelabuhan yang wujud di kerajaan maritime dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu pelabuhan pembekal, pelabuhan kerajaan dan pelabuhan entrepot.

Masyarakat maritime terdiri daripada masyarakat tempatan, orang laut dan pedagang luar. Berbeza dengan kerajaan agrarian, di kerajaan maritime biasanya lebih daripada satu bahasa digunakan. Namun, bahasa Melayu tetap digunakan sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) di rantau Asia Tenggara. Penggunaan bahasa Melayu ketara dalam urusan perdagangan kerana orang Melayu merupakan pelaut, pedagang dan peneroka yang terulung di rantau Asia Tenggara.

Masyarakat maritim juga mempunyai kemahiran belayar ke kawasan yang lebih jauh atas tujuan perdagangan atau sebagainya. Pelbagai kaedah digunakan oleh masyarakat maritime dalam memulakan pelayaran, antaranya dengan menggunakan panduan bintang di langit. Selain itu, masyarakat maritime juga berkemahiran tinggi dalam membuat perahu untuk perdagangan jarak jauh dan kapal layar untuk perdagangan jarak jauh. Pembentukan masyarakat majmuk juga merupakan ciri masyarakat maritim. Bagi memastikan kerajaan maritime meningkatkan kejayaan, mereka memerlukan sebuah masyarakat perdagangan yang kukuh dengan mewujudkan sebuah kerajaan yang mempunyai pelbagai bangsa dan kewarganegaraan.

Antara contoh kerajaan maritim adalah Srivijaya, Tun-sun, Langkasuka, Pan-Pan, Kedah Tua, Melaka dan beberapa lagi.

3.0 CORAK PEMERINTAHAN KERAJAAN-KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA

Kebanyakan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara mengamalkan corak pemerintahan beraja. Corak pemerintahan beraja mempunyai beberapa ciri tertentu.

3.1 Terbahagi kepada beberapa kelas sosial

3.1.1 Raja

Corak pemerintahan kerajaan-kerajaan awal memperlihatkan pembahagian kepada tiga kelas sosial. Ketiga-tiga kelas sosial yang wujud mempunyai peranan yang berbeza di antara satu sama lain. Kelas teratas dalam hierarki sosial pemerintahan kerajaan awal dinaungi oleh seorang raja. Raja mempunyai kuasa mutlak yang tidak dimiliki olek kelas sosial lain. Pada masa yang sama, agama Hindu dan Buddha telah menjadi sebahagian daripada kekuasaan seseorang raja atau pemerintah. Raja atau pemerintah dipercayai mempunyai unsur magis atau kebolehan luar biasa. Di samping itu, raja-raja juga turut dianggap memiliki kuasa kedewaan dan telah disamakan kedudukannya dengan dewa-dewa yang menunjukkan tradisi Brahmin iaitu tertumpu kepada konsep devaraja serta dianggap berkuasa penuh dalam hal keagamaan dan adat istiadat.

Raja berkuasa dalam soal pengadilan, perdagangan atau pertanian, perhubungan luar, ketenteraan dan percukaian. Di samping berkuasa, raja juga bertanggungjawab dalam hal pembangunan ekonomi, kemakmuran dan kebajikan sosial negara dan rakyat. 2 Contohnya, Raja Funan dan Angkor terlibat dalam pembinaan sistem pengairan dan bertanggungjawab secara langsung dalam pengurusannya. Raja Indravarman 1 telah membina sistem pengairan dan baray (tempat takungan air buatan manusia yang berbentuk tasik) yang mampu mengairi kawasan seluas 12.5 juta ekar. Ini menghasilkan beras yang mencukupi untuk rakyatnya.

3.1.2 Pembesar

Kelas sosial selepas raja diduduki oleh golongan pembesar, bangsawan atau pertuanan. Golongan ini termasuk dalam golongan pemerintah. Golongan ini berperanan sebagai penasihat raja dalam semua urusan kerajaan. Golongan pembesar, bangsawan, dan pertuanan lebih berkuasa di wilayah-wilayah tertentu. Selain itu, pembesar juga bertugas dalam memungut cukai dan ufti daripada rakyat dan utusan-utusan daripada kerajaan lain. Pembesar dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu terdapat pembesar pusat dan pembesar daerah yang menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Namun, terdapt juga perbezaan di antara pembesar di sesebuah kerajaan awal dengan kerajaan awal yang lain.

Golongan pembesar juga berperanan sebagai pembekal tenaga tentera. Semasa peperangan, pembesar bertanggungjawab membekalkan tentera kepada kerajaan. Tenaga tentera dalah terdiri daripada rakyat jelata dalam sesebuah kerajaan tersebut. Pembesar juga diamanahkan menjaga sesebuah kawasan dengan baik dan adil. Dalam kerajaan awal. Pembesar akan menentukan bentuk pentadbiran kawasan serta sistem pungutan cukai. Golongan ini juga bertanggungjawab memelihara keamanan di kawasan pentadbiran dan mempertahankannya daripada ancaman luar. Pembesar juga mejadi orang perantaraan antara raja dengan rakyat. Pembesar memastikan rakyat dalam kawasan pentadbirannya taat setia kepada raja.

3.1.3 Rakyat

Rakyat merupakan golongan yang paling rendah dalam sistem beraja kehinduan. Rakyat tergolong dalam golongan yang diperintah. Golongan ini mempunyai taat setia yang tidak berbahagi kepada raja dan golongan pembesar iaitu selaku golongan yang memerintah. Rakyat membayar cukai kepada raja dan golongan pembesar. Mereka mematuhi arahan raja atau pembesar. Misalnya, rakyat rela menjadi tenaga tentera, buruh dan sebagainya. Dengan kata lain, rakyat mengerah tenaga demi memenuhi tuntutan pemerintah. Tanpa rakyat, sesebuah kerajaan tidak akan berjalan atau berfungsi kerana rakyat mempunyai kepentingan yang besar kepada sesebuah kerajaan atau negeri.

Contohnya di Srivijaya, seperti negeri-negeri sebelumnya, Srivijaya mempunyai organisasi pentadbiran yang teratur. Inskripsi Telaga Batu yang dipercayai bertarikh dalam lingkungan suku abad akhir abad ketujuh, member gambaran tentang organisasi dan pentadbiran Empayar Srivijaya. Wolters berpendapat, Empayar Srivijaya dapat dibahagikan kepada tiga jenis kawasan. Sementara itu, de Casparis berpendapat berasaskan kepada inskripsi Telaga Batu yang mempercayai bahawa Srivijaya itu merupakan sebuah kadatuan atau empayar.

Kadatuan Srivijaya itu dibahagikan kepada beberapa mandala dan tiap-tiap mandala yang tertakluk kepada Srivijaya terletak di bawah pemerintahan seorang datu. Tiap-tiap datu itu pula mugkin mempunyai pembantu dalam hal kadatuan –praddatuan yang bergelar parvanda atau ketua tentera. Di zaman Kesultanan Melaka, wujud jawatan yang sama dengan datu tetapi nama jawatan itu berbeza iaitu mandulika.

Datu yang berketurunan raja, boleh dilantik daripada anak raja. Dalam hierarki kelas sosial dan hierarki pentadbiran di Srivijaya, terdapat empat kelas anak raja. Kelas yang paling tinggi ialah Yuvaraja. Ia berperanan sebagai Raja Muda atau Tengku Mahkota. Di bawah yuvaraja ialah pratiyuvaraja. Anak raja daripada kelas ini dilantik menjadi yuvaraja. Sementara anak raja yang lain digelar sebagai rala kumara. Ketiga-tiga kelas anak raja itu layak mewarisi takhta kerajaan tetapi perlu mengikut hierarki. Mereka adalah berdarah raja di kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa. Rajaoutra merupakan kelas anak raja yang keempat dimana kelas ini tidak layak dilantik menjadi raja kerana mereka itu bukan berketurunan raja dan mungkin anak gundik.

Dalam organisasi sosial dan politik Srivijaya, jelas kelihatan wujud dua kelas utama. Pertama, kelas daripada golongan diraja yang termasuk kaum kerabat dan anak-anak raja. Penghormatan dan status dalam golongan diraja bergantung kepada kedudukan mereka mengikut hierarki dalam kelas itu. Hal ini disahkan secara spiritual oleh inskripsi Kota Kapur.

Di bawah golongan raja, terdapat golongan pentadbir yang terdiri daripada senapati, nayaka, pratyaya, hajiprajaya dan dandanayaka. Senapati mempunyai tugas sebagai ketua kepada hulubalang dan fungsinya mungkin juga sama dengan fungsi Laksamana pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sementara nayaka berperanan sebagai Penghulu Bendahari dan Hajipratyaya berperanan seperti Temenggung atau ‘Royal Sheriffs’. Selain daripada pembesar-pembesar itu, terdapat pembesar-pembesar lain yang mungkin dapat dimasukkan ke dalam kelas pentadbir ialah murdahaka yang berperanan sebagai penghulu, Tuhan Vatakvurah mungkin peranannya sama dengan Syahbandar pada zaman Kesultanan Melaka dan Adhyaksa nicavarna sebagai penghulu rakyat kasta bawah. Pada zaman Empayar Srivijaya, terdapat juga golongan orang kaya-kaya atau Kumaramatya (Non-Royal Ministers). Selain itu terdapat kelas pekerja seperti Kayasdpa (Kerani), Sthapaka (Arkitek), Puhawang (Pekerja kapal) dan sebagainya.

Kelas sosial yang seterusnya ialah orang merdeka dan golongan hamba abdi. Kewujudan kelas orang merdeka dan hamba abdi jelas kelihatan dalam inskripsi Telaga Batu. Ini adalah kerana ddalam inskripsi Telaga Batu, tercatit satu jawatan yang bergelar penghulu atau ketua bagi rakyat yang merdeka yang terdiri daripada kelas kasta rendah. Di samping itu, terdapat pula hulun hali atau hamba raja.

3.2 Politik tempatan bersifat autokratik dan bersistem parental (hilang ciri-ciri demokrasi)

Sistem atau corak pemerintahan beraja yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara menyebabkan kemunculan beberapa kelas sosial yang berbeza. Keadaan ini menyebabkan kuasa bertokok di tangan golongan yang memerintah. Ini menyebabkan politik sejarah awal Asia Tenggara bersifat autokratik dan bersistem parental.

Autokratik di sini bermaksud pemerintahan yang memperlihatkan satu bentuk kuasa mutlak. Pemimpin atau pemerintah autokrasi iaitu raja atau datu cenderung untuk memimpin dan menggunakan kuasa secara paksaan. Pemerintah pada zaman kerajaan awal di Asia Tenggara membuat sesuatu keputusan organisasi dan mekanistik di mana satu hierarki kuasa dan pembuatan keputusan adalah terpusat.

Sistem parental pula bermaksud sistem pewarisan kuasa berdasarkan kekeluargaan. Ini bermaksud hanya kaum kerabat diraja sahaja yang layak memerintah. Misalnya kerajaan Angkor, raja dianggap sebagai devaraja atau raja tuhan. Baginda mempunyai kuasa veto (kuasa pemutus) dalam semua hal kenegaraan dan kehidupan rakyat.

3.3 Wujud hukuman yang berbeza mengikut kelas tertentu

Corak pemerintahan kerajaan awal juga telah mempengaruhi politik (pentadbiran) kehakiman atau pelaksanaan undang-undang awal di Asia Tenggara. Pelaksanaan hukuman adalah berbeza mengikut kelas-kelas tertentu. Semakin tinggi taraf kedudukan sosial, maka semakin ringan hukuman yang akan diterima . Ini bermakna golongan rakyat akan menerima hukuman yang lebih berat berbanding kelas-kelas sosial lain. Keadaan ini telah menimbulkan taat setia kepada raja kerana golongan rakyat takut untuk menderhaka.

4.0 BAGAIMANA CORAK PEMERINTAHAN KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA TELAH MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN POLITIK DI RANTAU INI?

4.1 Kemunculan golongan pemerintah dan diperintah

Golongan pemerintah dan golongan diperintah merupakan dua golongan yang berperanan besar dalam menggerakkan jentera politik sesebuah kerajaan awal. Golongan ini wujud hasil daripada pembahagian kelas sosial yang berbeza. Golongan yang diperintah harus melaksanakan pekerjaan yang ditetapkan, maka perlu ada ketua atau pemimpin yang tahu menguruskan aset asas yang terdapat pada sesebuah negeri atau kerajaan. Dari sini muncul individu atau golongan berkaliber yang diterima oleh rakyat sebagai pemimpin mereka apabila individu atau golongan itu dapat memberi jaminan keselamatan dan kemewahan kepada mereka. Dari tahap ini seseorang atau golongan yang telah mendapat kepercayaan ramai akan meningkat menjadi pemimpin yang lebih tinggi sehingga ke tahap raja atau pemerintah.

Namun, sistem pewarisan takhta berdasarkan sistem parental juga berlaku. Seseorang raja atau pemerintah muncul hasil daripada sistem kekeluargaan yang membolehkan mereka digelar sebagai golongan pemerintah. Dapat dilihat betapa pentingnya pengaruh Hindu-Buddha dalam corak pemerintahan kerajaan awal kerana pengaruh ini telah memberi apa yang diperlukan dalam menjadikan seseorang lebih berkuasa dan ditaati dalam politik. Golongan diperintah pula adalah golongan rakyat biasa yang perlu taat setia kepada raja. Golongan ini akan melaksanakan segala suruhan raja atau pemerintah seperti membayar cukai dan member sumbangan tenaga bagi pekerjaan raja, mengerahkan tenaga untuk mempertahankan raja dalam peperangan dan tidak menderhaka kepada raja.

Buktinya di Srivijaya, golongan pemerintah iaitu raja atau pemerintah menjalankan usaha kebajikan untuk rakyatnya dan juga menggerakkan hubungan dengan raja-raja serta mentadbir Srivijaya secara adil. Manakala golongan diperintah pula mestilah berbakti kepada raja, mengerahkan tenaga bagi pekerjaan raja dalam peperangan dan tidak menderhaka kepada raja. Dengan ini, muncullah satu sistem politik yang kukuh di Srivijaya sehingga membawa kepada pekembangan politik di rantau Asia Tenggara.

4.2 Menjalin hubungan persahabatan yang cergas

Corak pemerintahan yang diamalkan oleh hampir keseluruhan kerajaan awal di Asia Tenggara telah menggalakkan hubungan luar. Dengan kata lain, golongan raja atau pemerintah yang muncul hasil daripada corak pemerintahan pada zaman itu telah membawa pendekatan yang jitu dalam mengembangkan politik iaitu telah menggalakkan hubungan luar. Terdapat beberapa contoh kerajaan awal yang mengamalkan hubungan luar sehingga berjaya mengembangkan pengaruh kerajaannya.

4.2.1 Majapahit

Menjelang kurun ke-14, Majapahit berjaya menyatukan seluruh Asia Tenggara melalui hubungan persahabatan dengan Kerajaan Melayu-Jambi pada tahun 1377 (Raja Muda Adityawarnaman sebagai ketuanya), Kerajaan Tanjungpura di Kalimantan Barat dan negara-negara di Indo-China seperti Syangka, Martaban, Rajapura, Dharmanagari, Singanasari, Kemboja, Yuwarna, Langkasuka dan Tambralinga.

Hubungan persahabatan dengan negara-negara setempat bertujuan membentuk satu sistem pertahanan dalam menghadapi serangan dan ancaman kerajaan Mongul di bawah pimpinan Kublai Khan di China (1268-1294). Majapahit juga menjalankan hubungan persahabatan dengan empayar China di bawah Dinasti Ming (Raja Yung Lo) tetapi masih tetap bebas dan merdeka. Bagaimanapun, setiap tahun Majapahit menghantar perutusan menghadap Maharaja China di Peking di samping persembahan persahabatan.

Raja Majapahit sememangnya mementingkan hubungan persahabatan dalam mengukuhkan lagi hubungan politik dengan negara luar. Hubungan politik yang dijalin bukan atas dasar kepentingan politik sahaja tetapi penting dalam menghadapi serangan dan ancaman daripada musuh. Dengan ini, hubungan persahabatan yang dijalin oleh kerajaan Majapahit telah mempengaruhi perkembangan politik di rantau Asia Tenggara sehingga terbentuknya empayar-empayar yang kuat.

4.2.2 Srivijaya

Kebangkitan Dinasti Sailendra di Srivijaya telah membingungkan para sarjana dan pelbagai teori telah dikemukakan. Satu teori yang utama melihat kebangkitan itu kesan daripada perkahwinan diraja (dinasti). Walau bagaimanapun, pada 850 Masihi, Balaputradewa iaitu raja Srivijaya telah direkodkan sebagai keturunan daripada Dinasti Sailendra Jawa. Satu persoalan yang telah dibangkitkan ialah samada raja Srivijaya yang tersebut di muka A pada prasasti di Ligor itu sebenarnya raja Sailendra yang tersebut pada muka B. Ada sarjana-sarjana yang menganggap mereka berlainan dan mengemukakan bahawa raja yang kemudian itu ialah Balaputradewa iaitu seorang raja Srivijaya dan anak kepada seorang raja Sailendra di Jawa. Mengikut sebuah prasasti Nalanda, bertarikh lebih kurang tahun 8601 dia telah mendirikan sebuah biara untuk pengunjung-pengunjung agama dari Indonesia yang belajar ke sana dan untuk membiayai biara itu Raja Depavala telah memperuntukkan hasil-hasil pendapatan daripada beberapa buah kampung. 2 Namun, tidak pula kelihatan kedua-dua kerajaan di Sumatera dan Jawa telah bercantum. Pada masa yang sama, pegangan Dinasti Sailendra ke atas kerajaan Tengah Jawa telah merosot dan diganti oleh dinasti lain yang berpusat di Mataram.

Pada 900 Masihi, kuasa Srivijaya di kawasan Asia Tenggara sangat kukuh dan langsung tidak tercabar. Utusan-utusan dari Srivijaya dikirim ke China dan hubungan baik diwujudkan antara satu sama lain sehingga kerajaan Srivijaya diberi pengiktirafan. Namun, terdapat cubaan untuk menyerang Srivijaya, antaranya yang telah dibuat oleh Dharmavansa iaitu Raja Jawa Timur pada 900 Masihi tetapi telah dipatahkan dengan serangan besar-besaran ke atas Jawa Timur. Peristiwa itu telah menyebabkan kerajaan tersebut musnah dan rajanya telah mati dibunuh.

Srivijaya juga telah menjalin hubungan persahabatan dengan Chola iaitu sebuah kuasa maritime yang kuat di muara Sungai Ganges. Walau bagaimanapun, atas sebab yang tidak jelas, kedua-duanya telah berseteru dan pada tahun 1025 Masihi, Srivijaya telah diserang oleh Maharaja Rajendra (Chola) yang juga menyerang kawasan-kawasan di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Kedah, Perak atau Gangga Negara. Namun, kedua-duanya berbaik semula dan keadaan ini membolehkan Srivijaya menjalin hubungan politik yang kukuh sehingga membolehkan Srivijaya menjadi pusat penyebaran agama Buddha. I-Tsing menyebut, terdapat 1000 sami Buddha di ibu kota Srivijaya.

4.3 Perluasan kuasa melalui penaklukan

Perluasan kuasa melalui penaklukan yang diamalkan oleh kerajaan awal di Asia Tenggara telah mempengaruhi perkembangan politik di rantau ini. Perluasan kuasa bermaksud memperkembang atau memperbesarkan pengaruh politik terhadap sesebuah negara lain melalui pelbagai cara terutamanya melalui penaklukan. Corak pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan awal di Asia Tenggara yang telah mendorong kepada usaha imperialisme ke atas kerajaan lain. Keadaan ini boleh dibuktikan melalui beberapa buah kerajaan awal yang menjalankan dasar perluasan kuasa melalui penaklukan yang ketara diasaskan oleh raja atau pemerintah yang lahir hasil daripada corak pemerintahan yang diamalkan sehingga telah mempengaruhi perkembangan perkembangan politik sejarah awal di rantau Asia Tenggara.

Kerajaan Funan

Dalam pemerintahan kerajaan Funan ketika diasaskan oleh Fan-Shih-Man pada abad ketiga semasa Dinasti Kaundinya 1 telah melakukan perluasan kuasa terhadap negara lain. Beliau telah mengarahkan pembinaan kapal-kapal besar untuk menyerang lebih daripada sepuluh kerajaan lain dan meluaskan jajahannya sehingga 1.6 kilometer ke barat dan Semenanjung Thailand. Pengaruh Funan juga sampai ke atas Chih-Tu menerusi penaklukan yang dilakukan oleh Fan-Shih-Man. Keadaan ini jelas memperlihatkan bahawa golongan raja yang muncul hasil daripada corak pemerintahan yang diamalkan telah menjalankan tugasnya sebagai raja dengan baik. Raja Funan telah menjalankan dasar perluasan kuasa melalui penaklukan dan ini sekaligus telah meluaskan lagi pengaruh politik Funan sehingga telah mempengaruhi perkembangan politik sejarah awal di rantau Asia Tenggara.

Kerajaan Srivijaya

Kerajaan Srivijaya juga telah menjalankan dasar perluasan kuasa melalui kaedah penaklukan. Idea ini telah dicetuskan oleh golongan raja atau pemerintah selaku golongan yang paling berkuasa dan menduduki hierarki tertinggi dalam pemerintahan. Golongan raja atau pemerintah Srivijaya menjalankan usaha penaklukan atas dorongan melunaskan matlamat dalam meluaskan pengaruh politik ke seluruh Asia Tenggara.

Srivijaya nampaknya mengalami kesukaran dalam usaha meluaskan pengaruh politik sereti yang tercatat dalam Buku Hsin T’ang Shu berkata bahawa terdapat empat belas buah bandar yang dikuasai oleh Srivijaya. Adakah Bandar-bandar itu menjadi saingan yang telah ditawannya? 7 Pada awalnya, jajahan takluk Srivijaya tidaklah luas tetapi merata-rata sehingga merangkumi atau sampai ke kawasan yang jauh di pelbagai pusat perdagangan , petempatan atau kenegerian yang masing-masing mempunyai kawasan kecil. Pengaruh politik yang dipupuk oleh kerajaan Srivijaya itu adalah bermatlamatkan kepada usaha meningkatkan perdagangan kerana Srivijaya adalah sebuah kuasa maritim (thalassocracy). Kuasanya tidak hanya nersandar kepada kuasa pertanian (tidak seperti kebanyakan empayar sezamannya), malah pusat kerajaannya adalah kira-kira ke pedalaman sungai Palembang iaitu di kawasan yang berhutan paya dan tidak sesuai untuk pertanian secara besar-besaran. Kuasa laut Srivijaya sangat kuat sehingga mengawasi Selat Melaka dan Selat Sunda. Pada akhir abad ke-13, Chua Ju Kua iaitu penguasa perdagangan asing China telah menulis tentang Srivijaya memaksa dan mengenakan cukai ke atas kapal-kapal yang lalu-lalang di selat tersebut. Keadaan ini jelas memperlihatkan tentang pengaruh politik kerajaan Srivijaya sehingga pihak lain tunduk atas permintaannya.

Dengan berpandukan kepada inskripsi daripada Kedudukan Bukit di Palembang, dapat dijelaskan bahawa pengasas Empayar Srivijaya adalah Dapunta Hiyam. Di bawah pemerintahan Dapunta Hiyam, Srivijaya berjaya menakluki Melayu-Jambi dan mengembangkan kuasa politiknya ke atas kawasan lain di sekitar Selat Melaka. Pada peringkat ini juga negeri Kedah telah jatuh ke bawah kuasa Srivijaya. Mengikut inskripsi Ligor, Jaiya dan negeri-negeri kecil lain di Segenting Kera menerima pengaruh politik Srivijaya selewat-lewatnya pada tahun 775 Masihi.

Burma

Anawrahtalah adalah raja yang mula-mula menyatukan Burma dari segi politik dan mengasaskan kebesaran Pagan. Kejayaannya yang paling penting adalah penaklukan ke atas kerajaan Mon di Thatom. Legenda-legenda menyatakan dia ada mengambil seorang sami bangsa Mon, bernama Shin Arahan untuk berkhidmat dengannya dan memujuk orang Burma menganut agama Hinayana. Langkah ini menimbulkan satu perselisihan dengan satu kesamian yang dikenali sebagai Ari yang berkuasa di kawasan Burma Hulu.Tapi mengikut Gordon Luce, tindakan Anawrahtalah itu mestilah dilihat dari segi latarbelakang perluasan kuasa Angkor ke sebelah Barat. 4 Penaklukan dilakukan bagi menyebar pengaruh politik sehingga membawa kepada perkembangan agama Hindu-Buddha.

Kerajaan Ayuthia

Sebagai kata Coedes, dari Kemboja orang Siam mengambil susunan politik, tamadun material, tulisan dan beberapa perkataan-perkataannya. Satu catitan tambahan yang bertarikh kemudian kepada prasasti Rama Khamheng meyebutkan butir-butir mengenai penaklukan-penaklukannya. Ia berbunyi: ‘Rama Khamheng adalah raja berdaulat bagi semua orang Thai… Dia dapat menakluki musuh-musuhnya yang tidak terhingga ramainya itu, memiliki Bandar-bandar yang luas dan beberapa banyak gajah Arab ke Timur dia dapat menawan kawasan sehingga ke Sarulung [Picit], Song Kwe [Pisnubok], Lum[Lomsak], Bacay, Sakhasehingga tebing Sungai Mekong dan sehingga Vieng Can, Vieng Kham yang menandakan sempadan negeri itu. Arah Selatan pula beliau menguasai sehingga Khionti [tebing Sungai Meping di antara Kampengpet dengan Bakhon Savan], Prek [Paknam Po], Supannaphum, Ratburi, Pecaburi, Si Thammarat [Ligor] dan sehingga ke laut menandakan sempadannya. Arah ke Barat beliau berjaya menakluki kawasan-kawasan sehingga Muong Cot [Me So], Hangsavati [Pegu] dan sehingga ke laut yang menandakan sempadannya. Arah ke utara pula beliau menakluki kawasan sehingga Muong Ple [Pre] Muong Plua [di tebing Sungai Nan] dan di seberang Sungai Mekong sehingga Muang Cava [Luang Perabang] menandakan sempadannya’. 5

5.0 KESIMPULAN

Sejak kurun pertama Masihi, telah wujud beberapa kerajaan awal di Asia Tenggara. Kesan politik daripada pengaruh India di Asia Tenggara telah melahirkan sebilangan negeri atau kerajaan yang mengikut corak keindian. Corak keindian telah mewujudkan corak pemerintahan beraja di sebilangan negeri di Asia Tenggara.

Antara ciri-ciri pemerintahan beraja adalah terbahagi kepada beberapa kelas sosial, politik tempatan bersifat autokratik dan bersistem parental, wujud hukuman yang berbeza mengikut kelas-kelas tertentu dan sebagainya lagi. Corak pemerintahan kerajaan awal di Asia Tenggara telah mempengaruhi perkembangan politik sejarah awal di rantau ini adalah dengan munculnya golongan pemerintah dan diperintah, menjalin hubungan persahabatan yang cergas dan meluaskan kuasa melalui penaklukan. Dasar menjalin hubungan persahabatan dan perluasan kuasa melalui penaklukan adalah matlamat yang diutarakan oleh golongan pemerintah.

Konklusinya, corak pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara iaitu sistem pemerintahan beraja telah mempengaruhi perkembangan politik di rantau Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment