Sunday, January 24, 2010

Apa yang dimaksudkan dengan adat yang sebenar adat?

Adat yang berpunca daripada pengertian manusia terhadap kewujudan dan sifat alam tabii (nature). Berdasarkan pengertian ini maka muncullah ungkapan-ungkapan seperti ‘ adat api membakar ’ atau ‘ adat air basah ’ . Tabiat sesuatu adalah unsur kewujudan benda atau keadaan itu yang membezakannya daripada benda atau keadaan lain. Inilah sebenarnya adat, sesuatu yang tidak dapat disangkal sebagai sifat kewujudan. Tanpa sifat ini benda atau keadaan itu tidak wujud seperti keadaannya semula jadi.
Manusia Alam Melayu membuat penyesuaian dengan alam berdasarkan pengetahuan terhadap nature atau adat ‘ adat yang sebenar adat ’ yakni hukum tabii. Dari ini muncul sistem kepercayaan yang tegas dan formal terhadap alam, kuasa alam dan fungsi alam. Dalam tanggapan mereka seluruh alam itu menjadi ‘ hidup ’ ( animate ) dan nyata, mengandungi makhluk dan kuasa yang mempunyai hubungan dengan manusia dalam suatu susunan kosmologi tinggi-rendah. Dengan itu, satu cara hubungan yang teratur diadakan berdasarkan sikap hormat dan saling bergantungan antara manusia dan alam. Satu rangka sikap ynag terpancar dalam sistem taboo atau pantang diwujudkan untuk mengatur hubungan hormat itu. Satu himpunan ilmu kepawangan, kebomohan dan kedudukan ditimbulkan bagi memastikan hubungan itu sentiasa seimbang dan tenteram. Di sinilah fungsi watak-watak masyarakat yang memegang peranan pawang, dukun, belian atau manang dan bobohizan. Mereka berfungsi penuh menghubungkan alam manusia atau alam sosial dan pengalaman pancaindera dengan alam ghaib melalui jampi, serapah dan mantera.
Bukan sahaja perantara alam ghaib ini mengetahui tentang benda dan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan ciri-ciri alam tabii seperti air, api, angin dan sebagainya bahkan mereka mempunyai pengetahuan dan kekuatan untuk berhubungan dengan makhluk ghaib yang terdapat dalam kosmologi masyarakat mereka. Mereka adalah orang tengah dan titik pertemuan antara dua alam- sosial dan simbolik. Mereka inilah yang sentiasa menjadi ahli teori dan ideologist sistem adat masyarakat mereka.
Dalam masyarakat Alam Melayu, hubungan dengan alam sentiasa dijaga supaya seimbang dan tenteram oleh kelakuan manusia yang oleh mencemar atau merubah keseimbangan dan ketenteraman hubungan dengan makhluk ghaib yang menjadi pernyataan atau manifestasi kepada hidupnya alam. Sistem pantang larang memastikan supaya kelakuan atau tabiat manusia sentiasa hormat terhadap kewujudan alam Apabila berlaku perlanggaran terhadap adat uang mengatur hubungan manusia dengan alam lalu mempengaruhi keseimbangan hubungan, seperti berlakunya perlanggaran pantang larang, perlakuan ‘ kelintasan ’atau sebagainya maka suatu siri upacara perlu diadakan oleh ‘ pawang ’ , bomoh atau manang untuk memujuk makhluk ghaib dan memgembalikan keadaan hubungan yang sentosa antara dua alam.
Demikianlah timbul adat, istiadat dan upacara ‘ perubatan ’ mengubati sakit yang telah dikenakan terhadap seorang manusia yang melanggar hubungan baik itu. Dalam bentuk yang amat berpanjangan seorang pawang atau manang mengadakan upacara seperti ‘ main puteri ’ di Kelantan, ‘ berkebas ’ di Melaka, ‘ berayun ’ atau ‘ bebelian ’ di Sarawak atau ‘ bobohizan ’ di Sabah untuk menghubungi watak alam ghaib, memujuk, memuji dan meminta dengan jaminan baru bahawa hal ini tidak dilakukan lagi, pinta dimaafi dan membantu supaya sembuh dan sentosa. Seorang pawang atau bomoh Melayu akan sentiasa membawa jampi atau mantera dengan ayat-ayat ‘ aku tahu asalmu ’ apabila meminta atau menghalau anasir sakit daripada makhluk ghaib. Adat adalah law of nature yang kekal dan tidak berubah7 .









___________________________________
7 Zainal Abidin Borhan, Adat Istiadat Melayu Melaka, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Kerajaan Negeri Melaka, Akademi Pemgajian Melayu, Universiti Malaya, 1996, hlm 3-5

No comments:

Post a Comment